Manfaatkan Ekspo Pendidikan Untuk Cari Jurusan Sesuai

ISNIN, 27 JUN 2022

SEBUYAU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh memanfaatkan Ekpo Pendidikan Sarawak untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kursus dalam pelbagai bidang. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, ekspo tersebut bertujuan memberi maklumat berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti awam, swasta dan juga kolej kemahiran di bawah naungan kerajaan Sarawak. 

“Saya berharap program yang diadakan buat julung kali di daerah Sebuyau ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para graduan, guru serta Ibu bapa untuk memilih jurusan yang bersesuaian dengan kelayakan anak mereka,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan anjuran bersama Pejabat Daerah Sebuyau, Yayasan Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan bertempat di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Sabtu. 

Antara agensi yang melibatkan diri dalam ekpo pendidikan di daerah Sebuyau itu ialah Yayasan Sarawak, Swinburne Universiti, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Curtin Universiti, CENTEXS, Kolej Laila Taib, i-CATS, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Kolej SATT dan Pelita Maslaut. 

Program itu diadakan bersempena dengan Ekspo Pendidikan Sarawak yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri.

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian bantuan baucar pakaian seragam sekolah kepada 20 sekolah di daerah Sebuyau menerusi Yayasan Sarawak bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan. 

Sementara itu, Datuk Julaihi turut menyerahkan sumbangan hadiah kecemerlangan kepada Evelyne Sima Paridin dari SMK Sebuyau atas kejayaan memperoleh 8A dalam SPM 2021. -Edisi UKAS

add comment