Projek RTP Rancakkan Pembangunan Balingian

ISNIN, 27 JUN 2022

MUKAH: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian terus rancak menerima pembangunan melalui pelaksanaan pelbagai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, antara projek tersebut adalah pembinaan jalan Tellian Bypass dan pembinaan jambatan baharu menghubungkan Kampung Penakup Cina ke seberang Kampung The.

Menurutnya, tender kedua-dua projek tersebut akan dibuka pada Julai depan.

“Dua projek ini telah diluluskan Premier lama tetapi projek itu baru hendak ditender dalam bulan Julai ini. Kalau ikutkan laporan yang diberikan kepada saya.

“Selepas itu dari seberang itu, saya sedang memohon jalan dari jambatan tersebut terus ke costal highway.

“Jadi kita akan dapat menggunakan jalan itu. Mana tahu kalau jambatan kuning itu belaku apa-apa seperti yang belaku sebelum ini. Sebab itu kita perlukan sebuah lagi jambatan,” katanya berucap pada program Ziarah UKAS Ngiling Bidai di Rumah Pantau Telajan baru-baru ini.

Abdul Yakub berkata, turut akan dilaksanakan adalah penurapan semula jalan pesisir pantai dari Mukah hingga ke Jambatan Balingian.

Ia termasuk permohonan untuk membina hotel di Balingian yang telah dipersetujui dan dalam proses dokumentasi.

Beliau dalam pada itu berharap dengan melengkapkan kemudahan infra akan membolehkan Balingian dinaiktaraf menjadi daerah penuh satu hari kelak.

Terdahulu, Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim berkata Ziarah UKAS merupakan satu platform bagi merapatkan pemimpin bersama rakyat dalam program-program seumpama itu.

Katanya, dalam tempoh 5 tahun, atau sepenggal, Abdul Yakub telah terbukti membawa banyak pembangunan di DUN Balingian di mana projek-projek yang dilaksanakan bertujuan memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Malah, Abdul Yakub juga katanya peka dengan aduan-aduan masyarakat setempat, melihat kepada keperluan dan keutamaan, sering memohon responbalas daripada agensi yang bertanggungjawab berkenaan isu-isu yang diutarakan. – EDISI UKAS

add comment