ISNIN, 27 JUN 2022
BINTANGOR: Penduduk di Rumah Panjang Bala dan Rumah Margerat, Stubah di sini bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik sebaik projek menaiktaraf jalan gravel yang menghubungkan kedua rumah panjang itu siap dilaksanakan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi menaiktaraf jalan sepanjang 2.55 kilometer itu yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Walaupun jalan ini telah berjaya kita hubungi tetapi ianya belum dapat dilalui kenderaan masih dikategorikan sebagai jalan ban.
“Perkara ini telahpun saya kemukakan kepada YAB Premier baru-baru ini setelah mendapat satu kertas kerja dari DID Bahagian Sarikei yang merupakan pelaksana projek ini sebelum ini.
“Alhamdullillah permohonan kita sebanyak RM800,000 telah diluluskan oleh Premier di bawah Projek Rakyat untuk kita meneruskan pelaksanaan projek ini.”
Beliau memaklumkan berita gembira itu kepada Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) semasa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Majlis Ngiling Bidai 2022 Bagi Umah Panjang Sungai Stubah, Bintangor bersama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Ahad.
Katanya, apabila siap kelak, jalan berkenaan akan dihubungkan dengan jalan utama dari Sibu ke Tanjung Manis.
Selain itu tambah Safiee lagi, jalan itu kelak akan memudahkan penduduk di rumah panjang mengusahakan tanah mereka di sepanjang jalan berkenaan sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk.
Pada majlis sama, Safiee telah menyampaikan sumbangan kepada sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kg. Penasu dan JKP Masjid Al Ikhlas Kampung Penasu & Gereja Nanga Singat berjumlah keseluruhan berjumlah RM62,000 untuk kegunaan aktiviti dan program tahunan persatuan.
Pada sebelah petang pula, Safiee merasmikan Majlis Penangguhan Kursus Umrah Perdana anjuran Syarikat Pengurusan Umrah Darul Hana dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muhsiniin Daerah Daro.
Lebih 200 orang peserta mengambil bahagian dalam kursus tersebut. Safiee turut menyempurnakan dua cabutan tiket bertuah Pakej Umrah Percuma sumbangan Pihak Syarikat Pengurusan Umrah Darul Hana. – EDISI UKAS