SK Triang Dibuka Secara Rasmi, Tempatkan Murid-Murid Dari 9 Kampung

ISNIN, 27 JUN 2022

SERIAN: Penduduk di sembilan buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup kini boleh mengukir senyuman apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Triang dibuka secara rasmi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Republik Korea dan Jepun) merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem.

Menurutnya, sekolah berasrama penuh itu menelan kos sebanyak RM16.2 juta dan siap pembinaannya pada 21 September 2017 dan mula beroperasi sejak 2 Januari 2018.

“Pengambilan murid-murid pula dari sembilan buah kampung di sekitarnya iaitu Kampung Tong Nibong, Kampung Empessa, Kampung Kranji Atas, Kampung Kranji Baroh, Kampung Sg Linsat, Kampung Kenyalang, Kampung Sg Buru, Kampung Sg Paoh dan Kampung Sg Aping.

“SK Triang adalah unik walaupun letak di luar bandar dan begitu terpencil tetapi dengan kesabaran dan kerjasama penduduk setelah menunggu hampir 15 tahun akhirnya dapat juga dibina sebuah sekolah yang begitu megah,” katanya pada majlis perasmian sekolah berkenaan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Guru Besar SK Triang, Janie Limin dan guru-guru, PIBG serta komuniti kampung kerana bersabar dan tekun mencari jalan penyelesaian kepada segala kekurangan yang dihadapi di SK Triang pada mula dibuka.

“Saya juga menyeru agar semua pihak harus sama-sama menjaga SK Triang yang saya ibaratkan seakan seperti sebuah Kampus Mini,” katanya. -EDISI UKAS

add comment