UNIMAS Berperanan Penting Bantu Kerajaan Sarawak Hasilkan Kepakaran Atasi Krisis Bekalan Makanan Mentah

ISNIN, 27 JUN 2022

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memainkan peranan penting dalam membantu hasrat Kerajaan Sarawak menghasilkan kepakaran dalam bidang pertanian moden.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah susulan daripada krisis bekalan makanan mentah yang bukan sahaja dihadapi di Malaysia tetapi juga merupakan isu di seluruh dunia.

Jelasnya, UNIMAS sebagai sebuah universiti awam yang menjelang usia 30 tahun mempunyai sejumlah tenaga pakar dalam pelbagai disiplin ilmu telah bergerak seiringan dengan kerajaan Sarawak dalam membantu mentransformasikan negeri ini.

“Sarawak mempunyai tanah yang luas dan kita seharusnya boleh menjadi pengeksport makanan dan bukannya pengimport makanan seperti yang berlaku kini.

“Namun begitu, Kerajaan Sarawak tidak dapat merealisasikan masa depan yang dilakar ini secara bersendirian kerana ia memerlukan anda semua untuk menterjemahkan komitmen ini ke dalam kehidupan harian anda, dan memacu kelestarian kepakaran anda ke dalam bidang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS pada Isnin.

Tambah Premier Sarawak, UNIMAS mempunyai potensi yang cukup besar kepada perkembangan dan kemajuan negeri Sarawak sekaligus terus komited dalam membangunkan modal insan yang berinovasi, beretika dan bertanggungjawab mengikut arus peredaran masa.

Sementara itu, ketika ditemui media, Premier Sarawak memberitahu, industri pertanian boleh dijadikan sebagai industri yang memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat Sarawak.

“Industri pertanian boleh menjadi industri yang memberikan pulangan yang bukan sahaja kepada negeri tetapi kepada rakyat sendiri.

“Oleh sebab itu, saya telah berunding dengan pihak UNIMAS untuk mewujudkan makmal di luar bandar bagi melatih masyarakat terutamanya petani muda kita,” jelasnya.

Konvokesyen Komemoratif UNIMAS menyaksikan seramai 3,695 orang graduan memperolehi ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda.

Konvokesyen tersebut adalah bagi meraikan graduan pada tahun 2020 yang layak bergraduat namun istiadatnya tidak dapat diadakan secara bersemuka susulan pandemik COVID-19.

Turut disempurnakan istiadat pemahsyuran Pro Canselor kelima UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. -EDISI UKAS

add comment