Yayasan Sarawak Laksana Pelbagai Program Pendidikan Bantu Keluarga Kurang Berkemampuan

ISNIN, 27 JUN 2022

SIBU: Yayasan Sarawak telah melaksanakan begitu banyak program pendidikan sejak 1971 untuk memastikan setiap anak Sarawak terutama dari keluarga yang kurang berkemampuan mempunyai peluang yang sama untuk meneruskan pendidikan mereka sehingga peringkat tertinggi.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Rakyat China Bertaraf Menteri, Dato Sri Tiong King Sing, Yayasan Sarawak juga telah menyalurkan berbagai bantuan pendidikan yang menelan jutaan ringgit setiap tahun.

Ini katanya, termasuk penganjuran Expo Pendidikan Sarawak yang dianjurkan secara serentak di semua bahagian dan daerah di seluruh Sarawak pada 25 Jun 2022.

“Walaupun ramai sudah menyedari akan hakikat ini, namun masih perlu sentiasa diberi penekanan bahawa pendidikan memainkan peranan yang teramat penting dalam mengubah nasib seorang individu, keluarga, masyarakat, bangsa atau negara.

“Atas kesedaran inilah Kerajaan Negeri tidak boleh bertolak ansur melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan di negeri Sarawak.

“Sepertimana yang kita saksikan pada hari ini, Yayasan Sarawak sejak 1971 telah melaksanakan begitu banyak program pendidikan untuk memastikan setiap anak Sarawak, terutama dari keluarga yang kurang berkemampuan akan mempunyai peluang yang sama untuk meneruskan pendidikan mereka sehingga peringkat tertinggi.”

Dato Sri Tiong berkata demikian semasa pada Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 di SJK (C) Thai Kwang pada Isnin.

Menyentuh mengenai baucer bantuan pakaian seragam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu menegaskan, pekedai tidak seharusnya mengaut keuntungan yang tidak munasabah melalui program ini.

Dalam hal ini, beliau menyarankan kepada para ibu bapa untuk memeriksa dahulu pakaian supaya setimpal dengan nilai baucer dan pilih pembekal yang menawarkan kualiti barangan terbaik setimpal dengan nilai RM200 pada baucer tersebut.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ibu bapa supaya memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya untuk pelajaran anak-anak. Jangan disalahgunakan,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Pemangku Penolong Pengarah bagi (Program & Bantuan) Yayasan Sarawak, Mahathir Mohammad dalam ucapan aluannya berkata Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Swinburne University of Technology di Kuching, University of Technology Sarawak di Sibu, Curtin University Malaysia di Miri serta institusi kemahiran seperti Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) yang terdapat di Kuching, Lundu, Dalat, Betong dan Lawas.

Katanya, penubuhan IPT dan institusi kemahiran ini merupakan satu usaha agar anak-anak Sarawak berupaya melanjutkan pelajaran masing-masing baik pembelajaran bercorak akademik mahupun kemahiran.

Mengenai Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, beliau menjelaskan inisiatif tersebut telah diamanahkan kepada Yayasan Sarawak sejak tahun 2000.

“Setiap tahun Yayasan Sarawak telah mendapat kerjasama yang begitu baik dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan juga sekolah-sekolah dalam melaksanakan bantuan pakaian seragam ini,” jelas beliau.

Seramai 649 orang murid yang terdiri daripada 281 murid daripada 31 buah sekolah rendah dan 368 murid daripada daripada lima buah sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menerima bantuan tersebut.

Pada tahun ini, Yayasan Sarawak menyediakan 26,175 keping baucar untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah tersebut, Sarawak telah memperuntukkan sebanyak 2,800 keping baucar di Bahagian Sibu.

Dalam majlis sama, Dato Sri Tiong turut mengumumkan sumbangan beliau kepada SJK C Thai Kwang sebanyak RM150,000 untuk kegunaan sekolah berkenaan. – EDISI UKAS

add comment