Datuk Sebastian Ting Sempurnakan Program Ziarah UKAS Di Pasar Minggu Lutong

SELASA, 28 JUN 2022

MIRI: Selepas dua tahun tidak meraikan Hari Gawai secara bersemuka, pada tahun ini ia diraikan dengan suasana bersemuka dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19. 

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, kelonggaran ini membolehkan perayaan Hari Gawai diraikan dalam suasana meriah dan perpaduan. 

“Selepas dua tahun kita tidak dapat meraikan Hari Gawai ini, pada tahun ini kita telah bersama-sama dapat meraikanya dengan penuh kesyukuran.

“Namun, masih kekal waspada dengan SOP pencegahan COVID-19 yang sememangnya masih ada di sekeliling kita selepas kita beralih ke fasa endemik,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Ziarah UKAS DUN Piasau di Pasar Minggu Lutong, Miri pada Ahad. 

Sebanyak 100 pek bungkusan makanan yang mengandungi kuih tradisional sumbangan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) disampaikan serta 500 paket kit keselamatan yang mengandungi pelitup separuh muka serta tisu lembap turut diagihkan kepada orang ramai.

Datuk Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut memberitahu Pasar Minggu Lutong ini bakal menjadi tarikan utama di Lutong setelah projek pembesaran Fasa III menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) siap dilaksanakan. 

“Pasar Minggu Lutong ini bakal menjadi tarikan utama di Lutong setelah projek pembesaran pasar iaitu Projek Fasa III menerusi Projek RTP ADUN Piasau bernilai RM150,000 ke RM180,000 ini siap. 

“Ia dijangka mampu menampung sejumlah besa peniaga yang terdiri daripada mereka yang menjual hasil-hasil hutan selain produk-produk tradisional masyarakat Bumiputera di sini,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, beliau optimis Pasar Minggu Lutong ini membolehkan ekonomi penduduk khususnya masyarakat Bumiputera di sini akan bertambah baik selepas lebih dua tahun peniaga mengalami kesukaran untuk berniaga susulan penularan pendemik COVID-19. 

Hadir sama Kaunselor Leslie Lau Ik Chie, Kaunselor Aries Huang dan Kaunselor Tan Lek Jin serta kakitangan Pusat Khidmat DUN Piasau.-EDISI UKAS

add comment