SELASA, 28 JUN 2022
KUCHING: Industri halal sedang berkembang pesat dan berpotensi untuk menjana ekonomi negara, demikian menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Katanya, berdasarkan laporan ekonomi halal global, industri itu dijangka meningkat kepada RM10 trilion menjelang tahun 2024.
“Menjelang tahun 2024, ekonomi halal global dilaporkan akan meningkat kepada RM10 trilion. Unit Perancang Ekonomi (EPU), JPM melaporkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Justeru, industri halal mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi negeri dan negara ini,” jelasnya ketika berucap kepada ahli jawatankuasa halal Majlis Islam Sarawak di PPES di Kuching pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah PPES Ternak sedang berusaha menambah baik standard dan piawaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Tambahnya, kerajaan negeri melalui Majlis Islam Sarawak sangat mengambil berat berkaitan hal ehwal dan pembangunan halal di negeri ini di mana pelbagai inisiatif telah dan akan diambil bagi memperkasakannya.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ustaz Khalidi Ibrahim. – Edisi UKAS