Ir Aidel Turun Padang Lawat Tapak Projek Pembangunan Di Kalaka

SELASA, 28 JUN 2022

SARATOK: Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir Aidel Lariwoo telah melakukan lawatan kerja rasmi meninjau tiga tapak projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka pada Selasa.

Terdahulu, beliau telah menghadiri sesi taklimat di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok berhubung kelulusan dua projek di situ.

Projek pertama adalah pembinaan jambatan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyeberangi Sungai Krian, Saratok menuju ke Kupang bernilai RM85.5 juta yang akan dibina tidak lama lagi setelah semua kerja-kerja ukur serta kajian marin dan trafik dimuktamadkan.

Sementara itu jalan dari Pagan menuju ke Kampung Kaba sejauh lebih kurang 15 kilometer akan dibina secara berfasa dengan anggaran kos bernilai RM120 juta meliputi kerja-kerja perparitan serta pembinaan tiga buah jambatan.

Untuk projek tersebut, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan bagi membina jalan bermula dari Pagan sejauh 3 kilometer.

Ir Aidel juga dibawa melawat cadangan projek untuk membina sebuah lagi jambatan di Sungai Awik, Saratok menuju ke kawasan seberang bagi menghubungkan beberapa rumah panjang di kawasan Senyawan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi, Jurutera Bahagian Saratok serta ketua-ketua masyarakat. – EDISI UKAS

add comment