Kerajaan Sarawak Peruntuk RM5 Juta Wujudkan Pusat Penyelidikan Orkid

SELASA, 28 JUN 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengumumkan pemberian peruntukan modal benih sebanyak RM5 juta kepada Jabatan Perhutanan Sarawak bagi mewujudkan model taman orkid.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, taman orkid ini akan bertindak sebagai kompleks penyelidikan bagi Jabatan Perhutanan Sarawak dan Pusat Bidoversiti Sarawak.

Katanya, orkid yang ada di Borneo adalah unik dan boleh dibiakkan untuk dijadikan orkid hibrid yang boleh dieksport.

“Taman orkid ini tidak seperti taman orkid yang biasa tetapi ia adalah sebahagian daripada penyelidikan mengenai dengan orkid.

“Orkid pula sekarang ini boleh dibiak dan ia akan menjadi orkid hibrid.

“Borneo memiliki sepsis orkid yang istimewa yang mungkin boleh dibiakkan yang mana ia akan membolehkan kita mempunyai warna orkid yang lebih menarik.

“Tapi kita perlu melakukan penyelidikan tertentu dan sebab itu saya bagi RM5 juta untuk mewujudkan kebun kecil dengan semua peranti digital yang boleh menganalisis orkid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Industrial Forest Research Centre (IRFC), Jalan Puncak Borneo, Kuching pada Selasa.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mendedahkan taman orkid itu berkemungkinan akan dibangunkan di Semenggoh.

Tambahnya, Sarawak juga berpotensi menjadi pengeksport orkid seperti negara Belanda dan China.

Hadir sama Duta Besar Jepun Ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, Konsul Jenderal Republik Indonesia Di Kuching, Bapak Raden Sigit Witjaksono, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya Dan Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad.-EDISI UKAS

add comment