Kerjasama Dengan Polis Penting Untuk Pastikan Song Bersih Dari Jenayah, Dadah

SELASA, 28 JUN 2022

KAPIT: Masyarakat di Song diseru agar sentiasa berjaga-jaga dan membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kes-kes jenayah atau penyalahgunaan dadah di daerah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, dengan adanya akses jalan raya akan menarik minat orang luar untuk datang ke Song melakukan kes-kes jenayah.

Selain itu, beliau juga menyeru pihak sekolah dan ibu bapa supaya sentiasa menjaga anak-anak mereka daripada anasir najis dadah.

Dalam hal ini, beliau menegaskan kerjasama dengan pihak PDRM sangat penting untuk memastikan daerah Song bebas dari najis dadah.

Beliau berucap demikian semasa Program Hari Bersama Pelanggan PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Song di Rumah Jala Nanga Miaw Katibas, Song pada Isnin.

Katanya, penganjuran program itu amat baik kepada masyarakat tempatan untuk mengambil peluang mendapatkan maklumat daripada PDRM seperti hal senapang patah dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri yang turut hadir dalam ucapannya berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat dan polisi PDRM kepada akar umbi di samping untuk mengeratkan hubungan masyarakat dengan PDRM bersesuaian dengan tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’. – EDISI UKAS

add comment