SELASA, 28 JUN 2022
BINTULU: Menggabungkan perayaan kaum yang berbeza seperti Ramah Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Gawai Sekolah Kebangsaan (SK) Asyakirin amatlah digalakkan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, ini menunjukkan bahawa masyarakat di Sarawak saling menghormati keunikan setiap kaum dan menyemarakkan sambutan perayaan ini dengan suasana yang muhibah.
“Saya berharap pelajar-pelajar sekalian dengan bimbingan daripada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), boleh mengamalkan budaya penyayang dan saling menghargai antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ramah Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Gawai SK Asyakirin di Dewan Suarah Bintulu pada Sabtu.
Sementara itu, Guru Besar SK Assyakirin Arbah Tusin dalam ucapan aluannya memberitahu sambutan Ramah Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Gawai Dayak ini merupakan salah satu program tahunan sekolah.
“Objektif utama penganjuran majlis seumpama ini ialah memupuk semangat perpaduan dan jalinan kemesraan dengan komuntiti persekitaran sekolah termasuk agensi luar demi sekolahku sejahtera dan keluarga besar kita Keluarga Malaysia Bersilang Budaya,” katanya.
Pelbagai acara menarik diadakan antaranya pertandingan gerai, pertandingan karoake dan pakaian terbaik Raja and Permaisuri untuk kategori Hari Raya dan Gawai Dayak.
Hadir sama wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Unit Pembangunan Bakat Murid SPM PPD Bintulu Zulfikhar Awang dan Yang Di Pertua PIBG SK Assyakirin Mohamad Sabri Zaidil. -EDISI UKAS