Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada Duta Besar Jepun Ke Malaysia

SELASA, 28 JUN 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Takahashi ketika ditemui media berkata, kunjungan hormat tersebut adalah untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas layanan baik terhadap syarikat dan masyarakat Jepun di Sarawak.

“Kunjungan ini adalah untuk merakamkan penghargaan kami atas penjagaan baik yang telah diberikan oleh kerajaan Sarawak kepada syarikat-syarikat Jepun dan masyarakat Jepun.

“Kira-kira 150 orang dan 30 syarikat Jepun beroperasi di Sarawak di mana status operasi perniagaannya amat baik, jadi kami sangat berterima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Sarawak berpotensi dalam pelbagai perniagaan yang menarik minat syarikat Jepun.

“Saya rasa Sarawak mempunyai potensi yang sangat kuat untuk banyak perniagaan termasuk Malaysia secara amnya.

“Walaupun dengan kekangan yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 sebelum ini, syarikat Jepun masih berminat untuk terlibat dalam perniagaan di Sarawak.

“Justeru itu, saya berharap agar lebih banyak syarikat Jepun mengambil peluang dalam perniagaan di negeri ini setelah sempadan Malaysia dibuka semula secara berperingkat,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment