Projek Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak Dijangka Siap Penghujung September 2023

SELASA, 28 JUN 2022

BINTULU: Projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak dijangka siap pada penghujung September 2023.

Pengurus Pembinaan Perunding OPUS Huang Hong Kiat berkata, kemajuan projek ini telah mencapai 39 peratus. 

“Dua tiang menara antara Muara Sungai Kemena telah siap pada awal Jun lalu.

“Kejayaan menaikkan dua tiang menara ini merupakan suatu kejayaan dan menjadi titik tolak kepada pelaksanaan Jambatan Bintulu-Jepak,” katanya semasa memberikan taklimat ringkas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Meng yang meninjau projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak pada Sabtu. 

Jambatan Bintulu-Jepak ini merupakan antara projek yang diberikan pengawasan Coastal Second Trunk Road Unit dengan nilai kontrak sebanyak RM466,679,497 dan dilaksanakan PPES Works-CCCC JV Sdn Bhd.

Ia telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 22 Julai 2019 dengan mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan. 

Bagaimanapun, ekoran penularan wabak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan projek pembinaannya mengalami kelewatan.

Apabila siap kelak, jarak laluan bandar Bintulu ke Lapangan Terbang Bintulu akan lebih dekat daripada 25 kilometer (km) kepada 10km, sekali gus bakal membawa pembangunan pesat ke kawasan Jepak dan  pesisir bahagian.-EDISI UKAS

add comment