Ahli SUPP Perlu Beri Tumpuan Usaha Bangunkan Negeri Tanpa Mengira Latar Belakang

RABU, 29 JUN 2022

BINTULU: Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri ini tanpa mengira perbezaan latar belakang masing-masing.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain adalah sangat penting.

Katanya, semasa berucap di Majlis Ulang Tahun ke-60 SUPP Cawangan Bintulu di sebuah restoran terkenal, di sini pada Sabtu lepas, beliau percaya dengan usaha gigih, pengorbanan dan kepimpinan terdahulunya, SUPP berupaya meneruskan misi negeri ini untuk rakyatnya.

“Dalam hal ini, saya percaya bahawa kita berada dalam arus perdana. Marilah kita bersama-sama membangunkan ekonomi baharu, ekonomi digital dan ekonomi hijau kita,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) itu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming atas kejayaan merampas kembali kerusi DUN tersebut daripada pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN) Sarawak yang lalu.

Beliau percaya dalam tempoh 5 tahun akan datang, Johnny Pang dan pasukannya akan memberi sumbangan yang banyak kepada rakyat di kawasan DUN Tanjong Batu yang diwakilinya.

“Masa depan Sarawak memerlukan kerjasama semua orang dan saya yakin pasukan Johnny Pang sebagai pemimpin baharu berupaya untuk sama- sama berganding bahu merealisasikan hasrat Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pengundi termasuk parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakan-rakan seperjuangan dalam SUPP di atas kejayaan merampas kerusi Tanjong Batu.

Turut hadir ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek dan ADUN Jepak Datuk Talip Zulpilip.- EDISI UKAS

add comment