Inisiatif SMART Perlukan 700 Menara, Hubungkan Rakyat Kepada Akses Internet

RABU, 29 JUN 2022.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif ‘Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication Tower’ (SMART) memerlukan anggaran 700 menara telekomunikasi untuk memastikan rakyat di negeri ini mendapat rangkaian dan mempunyai akses internet yang membentuk asas kepada ekonomi digital.

Di samping itu, pihak kerajaan juga komited untuk membina menara SMART bagi membolehkan penyedia perkhidmatan mudah alih seperti Celcom, Digi, Maxis, U Mobile Dan MySRBN-SDEC dapat menawarkan perkhidmatan jalur lebar.

Ini bagi membolehkan sebanyak 93.6 peratus penduduk negeri Sarawak dijangka mendapat akses kepada jalur lebar menjelang akhir 2023.

Selain itu, mereka yang tinggal di lokasi luar bandar juga boleh mengakses internet menggunakan jalur lebar yang sama seperti penduduk di kawasan bandar.

Sehubungan itu, satu sesi taklimat dan perbincangan bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), wakil rakyat, ketua masyarakat dan ketua kaum, serta tuai-tuai rumah telah diadakan di Sarikei Inovation Center (SIC) pada Rabu.

Taklimat itu bertujuan menjelaskan kepada pemilik tanah berhubung inisiatif yang hendak dilaksanakan bagi mengelak sebarang konflik yang akan menjejaskan dan melewatkan pelaksanaan projek.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hing, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, wakil ADUN Kuala Rajang Baijuri Jauji, wakil ADUN Repok Anthony Tan, wakil ADUN Daro Mohd Azmeer, wakil Ahli Parlimen Igan Basmi Mat serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment