Songket Sarawak Diiktiraf Sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara, Beri Kepentingan Sosial & Ekonomi

RABU, 29 JUN 2022

KUCHING: Songket Sarawak yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) memberikan kepentingan sosial dan ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengiktirafan itu membantu dalam  meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.

Beliau menjelaskan, Songket Sarawak menyumbang kepada pelancongan budaya di negeri ini yang membolehkan untuk mempromosi warisan budaya, seni, kraf dan tradisi melaluinya.

“Songket Sarawak berpotensi memainkan peranan penting dalam pembangunan asas warisan budaya (ICHLinks) oleh masyarakat global dan seterusnya, asas warisan budaya ini menawarkan peluang untuk pembangunan mampan ICH di Sarawak.

“Pembangunan ICH di Sarawak kemudiannya akan membantu menyumbang kepada ekonomi usahawan tempatan dan meningkatkan pertumbuhan keseluruhan ekonomi Sarawak,” katanya dalam Majlis anugerah ICH kemanusiaan dan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, songket atau barang budaya lain seperti Pua Kumbu boleh dijadikan sebagai satu industri.

“Untuk melakukan ini, kita boleh mewujudkan Pusat Songket di seluruh Sarawak, yang menawarkan ruang untuk pengeluaran, pendidikan dan latihan.

“Ini bukan sahaja akan menyuntik rangsangan tenaga ke dalam ekonomi tempatan, tetapi menyediakan tempat untuk setiap masyarakat membiasakan diri dengan seni songket.

“Pusat Songket kemudiannya boleh menjadi koperasi yang membantu memasarkan Songket Sarawak sebagai produk.

“Ini akan membolehkan masyarakat mengekalkan industri songket mereka di daerah mereka sendiri dan menjadi kreatif tentang cara mereka mahu memasarkan songket mereka,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menerima Anugerah ICH Kemanusiaan atas  usaha yang telah banyak dilakukan dan inisiatif yang telah diambil oleh mereka dalam memelihara warisan dan budaya Sarawak.

Manakala, seramai 22 orang pula menerima Anugerah ICH Komuniti (Sandang Warisan). Turut hadir serta Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri Dato Fatimah Mohd Iskandar, isteri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datin Zuraini Abdul Jabbar, Ketua Pengarah Pusat Maklumat dan Rangkaian Antarabangsa untuk ICH di Rantau Asia Pasifik di bawah naungan UNESCO (ICHCAP) Kim Ji Sung dan Presiden Persatuan Pengamal Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MACPA) Marzuki Tambi.-EDISI UKAS

add comment