Ziarah UKAS Komuniti Ngabang Gawai Terus Santuni Masyarakat Sebuyau

RABU, 29 JUN 2022

SEBUYAU: Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) terus menyantuni masyarakat Sebuyau menerusi Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai 2022 bertempat di Dewan Masyarakat Kambung Bulan di sini pada Selasa.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bulan itu telah dirasmikan Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau Jerry Zannuddin Bidin yang mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Jerry dalam ucapannya memberitahu, program Ziarah UKAS ini merupakan platform terbaik untuk mendekatkan lagi pemimpin bersama dengan masyarakat tempatan serta mengeratkan silaturahim sesama diri tanpa mengira agama atau bangsa.

“Ia juga mendedahkan rakyat kepada peranan UKAS sebagai penyebar maklumat kerajaan yang sahih,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Bulan, Tuai Rumah Najel Achik turut menzahirkan penghargaan di atas penganjuran program seumpamanya yang memberi peluang kepada masyarakat untuk menjalin hubungan dengan wakil-wakil agensi kerajaan.

Kira-kira 50 orang hadir memeriahkan program Ziarah UKAS tersebut.

Antara pengisian program ialah simbolik penyerahan kotak UKAS Ngabang Gawai serta penyampaian hadiah Pertandingan Nyanyian Warga Emas dan Pertandingan Poco-Poco yang terdiri daripada peserta Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak Daerah Sebuyau.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak Sebuyau, Juhari Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya, Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebuyau, Agu Keleng serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan sekitar. -Edisi UKAS

add comment