MPOB Betong Anjur Program Taklimat MSPO Bersama Pekebun Kecil

KHAMIS, 30 JUN 2022

BETONG: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Betong telah menganjurkan Program Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bersama pekebun kecil SPOC Q9 Pusa, Maludam, Debak & SPOC Q10 Betong, Spaoh bertempat di di Dewan Rimbas Tengah, Debak pada Rabu.

Program itu bertujuan untuk memastikan kemampanan program MSPO sentiasa ditingkatkan dalam kalangan ahli SPOC Q9 & Q10.

Selain itu, ia bertujuan memberi pendedahan dan maklumat berkenaan pensijilan MSPO kepada para pekebun kecil untuk memastikan semua pekebun kecil mematuhi prinsip-prinsip yang terdapat dalam pensijilan ini.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pekebun kecil mengurus kebun sawit secara mampan serta meningkatkan ilmu pengetahuan pekebun kecil dalam pengurusan kebun dan secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil.

Para peserta program juga menerima taklimat daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara tidak langsung dalam teras prinsip-prinsip pensijilan ini.

Agensi kerajaan yang terlibat dalam program ini adalah Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (DOSH) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Selain itu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berserta pihak CIMB Bank Cawangan Sri Aman juga dijemput untuk menggalakkan para pekebun kecil membuat simpanan dan pelaburan untuk mengukuhkan kemampanan kewangan mereka pada masa hadapan.

Pihak MPOB juga menggalakkan para pekebun kecil persendirian membuat simpanan dan pelaburan untuk kemampanan kewangan mereka pada masa hadapan. – EDISI UKAS

add comment