Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2022 (KJA 2022) Tawar Hadiah Keseluruhan RM250,000, Mula Dibuka 1 Julai 2022

JUMAAT, 1 JULAI 2022

MIRI: Penyertaan Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2022  (KJA 2022) mula dibuka pada 1 Julai 2022 untuk penyertaan bagi penerbitan bermula 1 September 2021 hingga 31 Ogos 2022.

Menurut kenyataan KJA pada Jumaat, tarikh tutup penyertaan adalah pada 9 September 2022 dengan setiap peserta hanya boleh menghantar maksimum 3 penyertaan termasuk perseorangan atau berkumpulan.

“Penyertaan Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2022 akan menggunakan kaedah pengisian borang secara atas talian (online form).

“Kaedah ini digunakan kepada peserta yang ingin menghantar salinan digital (Softcopy) melalui storan awan atau menghantar salinan cetak (Hardcopy) melalui pos terus ke alamat Malaysia Press Institute (MPI) The Secretariat KJA 2022, Malaysia Press Institute (MPI), C2-3, Radius Business Park, Jalan Radius 1/1C, Cyber 4, 63000 Cyberjaya, Selangor dan nombor telefon 03-86892717,” katanya. 

Borang secara atas talian ini boleh dicapai di laman sesawang Malaysia Press Institute (MPI) bermula 1 Julai ini. Link KJA (https://mpi.my/kja-2022).

Sebanyak 11 kategori kekal dipertandingkan dalam KJA 2022 antaranya Anugerah Khas Ketua Menteri yang dimulakan sejak 2016 kini dikenali sebagai Anugerah Premier Sarawak.

Kategori lain termasukah Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian, Anugerah Laporan  Ekonomi dan Perniagaan, Anugerah Kewartawanan Foto dan Anugerah Esei Foto dengan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000. 

Sejak tahun 2015, Kerajaan Sarawak telah menjadi penaja utama penganjuran, selain barisan penaja emas Shell, Petronas dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang RM50,000 masing-masing.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg akan menyempurnakan Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 serta menyampaikan Anugerah Premier Sarawak yang dijadualkan pada 9 Disember 2022 di Imperial Hotel Miri.-EDISI UKAS

add comment