Datuk Rubiah Wang Pantau Projek Penyelenggaraan Sistem Saliran Di Beberapa Kampung

JUMAAT, 1 JULAI 2022

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turun padang memantau Projek Penyelenggaraan Sistem Saliran di beberapa kampung di sini pada Khamis.

Antara kampung yang dipantau ialah Kampung Mang, Kampung Muara Tuang dan Kampung Pinang Hilir.

Turut menyertai beliau ialah Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Daan; pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Kuching/Samarahan.

Menerusi pemantauan di Kampung Mang, Penghulunya, Othman Rayyan ketika ditemui berasa bersyukur di atas pelaksanaan projek tersebut dan berharap dengan adanya sistem perparitan yang lebih baik, penduduk kampung dapat mengamalkan penjagaan kebersihan di kawasan rumah masing-masing.

Dalam pada itu, semasa memantau di Kampung Muara Tuang pula, Ketua Kaum Awang Nasihin Awang Samah mengucapkan terima kasih kepada Datuk Rubiah Wang di atas keprihatinan beliau dalam menyegerakan permintaan penduduk kampung untuk mendapatkan sistem perparitan yang lebih baik.

Manakala di Kampung Pinang Hilir, Ketua Kaumnya, Forkan Jamain berkata, penyelenggaraan tersebut penting memandangkan sistem perparitan sedia ada terlalu kecil dan tidak dapat menampung keperluan penduduk.

Justeru tambahnya, dengan pelaksanaan projek tersebut, ia sedikit sebanyak membantu penduduk kampung menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Pada masa sama, Datuk Rubiah turut meminta pihak penyelenggaraan untuk bertindak dengan segera sekiranya terdapat apa-apa aduan yang diterima bagi mengelak daripada berlakunya saliran tersumbat dan sebagainya. -EDISI UKAS

add comment