PRS Ngemah Akan tubuh Cawangan Di Semua PDM DUN Ngemah

JUMAAT, 1 JULAI 2022

KANOWIT: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Ngemah akan menubuhkan cawangan di semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah iaitu Kajah, Bat, Sengayan, Mapai, Bawan dan Pedai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, penubuhan cawangan itu adalah penting bagi menguatkan sokongan dan melicinkan pentadbiran parti di peringkat cawangan terbabit.

Katanya, ketika ini terdapat dua cawangan PRS di Ngemah iaitu Cawangan Bat/Sebelu dan Cawangan Bawan.

Jelas beliau, melalui penubuhan cawangan tersebut parti boleh mengrekrut ahli baru PRS, melaksanakan program parti di lapangan, sebagai mata dan telinga bagi parti dan memberi maklum balas mengenai tahap sokongan pengundi di lapangan terhadap kerajaan, parti dan wakil rakyat.

Berucap semasa Majlis Suai Kenal PRS Cawangan Bawan di Rumah Vincent Paong, Sungai Bawan, Kanowit pada Khamis, Anyi berharap agar semua Ahli Jawatankuasa Cawangan Bawan yang dipilih memainkan peranan mereka dengan aktif bagi membantu parti di lapangan.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua hadirin agar terus menyokong polisi dan kepimpinan kerajaan semasa iaitu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengenai geran dan projek yang dipohon oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita yang hadir, Anyi memberitahu ia akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan bajet yang ada. – EDISI UKAS

add comment