Taman Awam Miri Satu Lagi Destinasi Tarikan Pelancong

JUMAAT, 1 JULAI 2022

MIRI: Kawasan Taman Awam Miri ini sangat popular di kalangan penduduk di kawasan Riam dan sebab itu penduduk di sini mahu dibina sebuah taman awam untuk kemudahan rekreasi. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ini merupakan projek pertama beliau ketika mula menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin pada 1997. 

Katanya, ketika ini fasa pertama Taman Awam Miri ini telah pun siap dibina pada tahun 1997 dan diikuti fasa kedua pada tahun 2000, manakala fasa ketiga kini sedang dalam proses pembinaan. 

“Taman Awam Miri ini merupakan pusat rekreasi yang unik dan popular bagi penduduk kawasan Miri.

“Taman itu dikenali kerana rekaannya mengikut kontur tanah sekali gus memberi suasana dan keindahan landskap taman semula jadi kepada orang ramai,” katanya. 

Beliau berkata semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Taman Awam Miri di sini pada Jumaat. 

Tambah Dato Sri Lee lagi, pembinaan Taman Rekreasi Awam Miri baru fasa 4 seluas 11.05 ekar kini dalam perancangan merangkumi dua buah menara peninjau, tandas awam, trek jogging, taman flora, gim, taman permainan, tempat letak kereta dan sebagainya.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, Taman Awam Miri ini juga akan menjadi tumpuan pelancong yang datang ke Miri kerana mempunyai tarikan tersendiri. 

Selain beriadah, pelancong boleh menikmati flora dan fauna serta mempunyai kawasan bersejarah yang boleh dilawati selain mempunyai pemandangan yang menarik. 

“Pengunjung dan pelancong boleh datang ke sini dan mellihat keindahan persekitaran dan bandaraya Miri. 

“Mereka boleh menghayati keindahan flora dan fauna serta tempat bersejarah,” ujar beliau lagi. 

Peruntukan projek pembinaan Fasa 4 ini dibiayai Premier Sarawak. 

Beliau juga berkata, pembinaan Taman Awam Miri fasa 4 ini berperanan penting agar dapat menggalakkan amalan hidup sihat selain mempromosikan tempat rekreasi ini sebagai salah satu tempat pelancongan yang terkenal di bandaraya Miri.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Abdul Rahman Taupek.-EDISI UKAS

add comment