SABTU, 2 JULAI 2022
MIRI: Hospital Miri kini memiliki sebuah Makmal Histopatologi bernilai RM1.835 juta hasil sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Shin Yang Group.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, projek makmal berkenaan telah mula dilaksanakan pada 17 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 30 Mac 2022 serta penyerahan dokumen pada 6 April 2022.
Beliau memaklumkan, makmal ini dijangka akan memulakan operasi secara berperingkat mulai Julai 2022 sebaik pemasangan semua peralatan makmal selesai.
“Dengan adanya makmal ini, penghantaran sampel ke makmal di Hospital Umum Sarawak dapat diminimumkan dan keputusan bacaan sampel dapat disegerakan untuk kelancaran dan kesinambungan pengurusan klinikal pesakit,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan Makmal Histopatologi sumbangan Shin Yang Group kepada Hospital Miri disini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan dan rasa bangga atas usaha pihak Shin Yang Group untuk mewujudkan makmal itu.
Dato Sri Lee telah menyaksikan penyerahan rasmi makmal tersebut oleh Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Shin Yang Group of Companies Datuk James Ling Lu Kiong kepada Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu.
Projek makmal ini terdiri daripada komponen bangunan dengan keluasan 313.45 meter persegi, komponen peralatan makmal, komponen unit-unit penyaman udara dan juga sistem ventilasi makmal.-EDISI UKAS