Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana

SABTU, 2 JULAI 2022

LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus menumpukan perhatian terhadap pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, ini kerana PMKS merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan juga Malaysia secara amnya. 

“Hingga hari ini, sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) begitu penting dalam sektor ekonomi negara dengan tidak kurang daripada 98 peratus daripada perniagaan di Malaysia melibatkan golongan ini. 

“Disebabkan itu, kita akan terus memberi perhatian khusus kepada pembangunan PMKS agar mereka terus berkembang maju pada masa depan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Minggu PMKS 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Taman Awam Lawas pada Sabtu. 

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, menjelaskan, kerajaan Sarawak serta kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi membantu PKS terutamanya ketika dunia terkesan akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda sejak dua tahun dahulu. 

Tambahnya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kira-kira RM5.7 bilion menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) 1.0 hingga 8.0 sebagai usaha meringankan beban rakyat di sini. 

“Kerajaan negeri meluluskan RM80.7 juta menerusi BKSS 2.0 untuk bantuan subsidi kadar faedah selama tiga tahun setengah kepada PKS. 

“Ini merupakan inisiatif seumpama yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia di mana sekitar 3,345 usahawan telah mendapat manfaat daripadanya dengan subsidi kadar faedah bernilai RM77 juta,” katanya. 

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan, beberapa skim lain turut dilaksanakan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) untuk membantu golongan PKS. 

Beliau mengulas lanjut, antara skim tersebut ialah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan jumlah bantuan sebanyak RM49.5 juta berjaya disalurkan kepada 1,689 usahawan setakat ini.

“Manakala Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) pula telah berjaya memanfaatkan 417 penerima dengan jumlah bantuan bernilai RM31.08 juta telah disalurkan. 

“Untuk graduan yang berminat menceburi bidang perniagaan pula, MINTRED memberikan bantuan geran Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) di bawah RMK12 dengan peruntukan RM10 juta di mana 344 graduan telah dibantu setakat ini dengan jumlah lebih RM3 juta,” tambah beliau lagi. 

Sementara itu katanya, 513 usahawan telah memanfaatkan peruntukan lebih RM4.6 juta di bawah program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) manakala 100 usahawan atas talian atau ‘e-commerce’ telah dibantu dengan peruntukan lebih RM1 juta melalui program ‘Go Digital’. 

Justeru itu, Datuk Amar Awang Tengah menyeru semua usahawan agar meraih segala peluang dan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk memajukan dan memperkembangkan perniagaan yang diceburi. 

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sarawak Bapak Raden Sigit Witjaksono, Penasihat di MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia Rithaudden Makip serta Ahli Perbadanan SME Corp Malaysia Bell Aggan. -Edisi UKAS

add comment