SABTU, 2 JULAI 2022
LAWAS: Golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya di Lawas diseru agar memanfaatkan program Minggu PMKS Peringkat Negeri Sarawak dengan sebaiknya untuk mengetahui bantuan yang ditawarkan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, program anjuran SME Corp Malaysia dengan kerjasama kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) itu telah membawa pelbagai agensi berkaitan bidang keusahawanan untuk memberi maklumat kepada warga tempatan.
“Jadi saya berharap masyarakat Lawas akan melawat ke pameran-pameran agensi yang telah didirikan pada minggu PMKS ini.
“Kalau tidak tahu, jangan malu bertanya. Ini peluang terbaik untuk mengetahui bantuan-bantuan yang layak dimohon serta syarat-syarat yang berkaitan,” tegasnya pada majlis perasmian program tersebut di Taman Awam Lawas pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menyambut baik usaha SME Corp Malaysia menganjurkan program seumpama itu yang mampu memperkasakan golongan PMKS tempatan.
Sementara itu, beliau menyeru usahawan tempatan agar mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar demi menambah pendapatan yang diperoleh.
“Sekiranya hendak memperluaskan capaian perniagaan, maka golongan usahawan perlu melihat kepada penjualan produk mereka ke pasaran luar.
“Oleh itu, amat penting bagi kualiti produk yang dihasilkan menepati piawaian tertentu supaya dapat menarik perhatian pelanggan dari luar negeri,” ujarnya lagi.
Pada program tersebut, Datuk Amar Awang Tengah turut menyempurnakan beberapa simbolik penyerahan bantuan kewangan iaitu Skim Bantuan Program Micro Connector bernilai RM392,000 kepada seorang penerima, Skim Bantuan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak RM1.33 juta kepada seorang penerima, Skim Bantuan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) bernilai RM1.46 juta kepada seorang penerima dan Geran Bantuan Pembangunan Koperasi di bawah Program Koperasi Prihatin Rakyat (KPR) sebanyak RM100,000 kepada seorang penerima.
Turut disempurnakan simbolik penyerahan Geran Perkakasan GO Digital Sarawak berjumlah RM20,000 kepada dua penerima, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjumlah RM2.347 juta kepada dua penerima, Skim Bantuan Program Graduan Ke Arah Keusahawan (GERAK) sebanyak RM7,000 kepada seorang penerima dan Skim Bantuan Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) berjumlah RM60,000 kepada dua penerima.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sarawak Bapak Raden Sigit Witjaksono, Penasihat di MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia Rithaudden Makip serta Ahli Perbadanan SME Corp Malaysia Bell Aggan. -Edisi UKAS