RM12 Juta Untuk Naiktaraf Kem Pengakap Di Matang

SABTU, 2 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi peruntukan sebanyak RM12 juta untuk menaiktaraf tapak perkhemahan Pengakap di Matang.

Premier Sarawak yang juga Ketua Pengakap Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan ini adalah sebagai tanda sokongannya terhadap Pengakap di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan kepada Pengakap yang ada di Bumi Kenyalang ini.

“Saya beri peruntukan sebanyak RM12 juta untuk pembinaan kem berkenaan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sarawak 1st Rover Moot Kebangsaan 2022 di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya itu akan terus membantu golongan belia di negeri ini.

“Oleh sebab itu, saya telah mewujudkan portfolio kementerian yang baharu iaitu Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selepas pilihanraya yang lepas,” tambah beliau.

Selesai menyempurnakan majlis, Premier Sarawak telah menyaksikan hasil ciptaan meja buluh sepanjang 81.20 meter oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak.

Ciptaan meja buluh ini merupakan terpanjang di Malaysia yang berjaya mencipta rekod baharu dan tersenarai dalam ‘Malaysia Book of Records’

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Pemangku Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Prof. Dr Dato Mohd Zin Bidin, Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Yang DiPertua Majlis Pengakap Sarawak Dato’ Mohamad Safri Abdillah, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datu Junaidi Reduan dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan.-EDISI UKAS

add comment