Semangat Perpaduan & Toleransi Masyarakat Berbilang Agama Serlah Keunikan Sarawak

SABTU, 2 JULAI 2022

KUCHING: Perpaduan dan sikap toleransi masyarakat berbilang agama telah lama wujud sehingga menyerlahkan keunikan budaya di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, rakyat Sarawak jelas terlihat masih mengekalkan keharmonian walaupun rumah ibadat agama yang berlainan ditempatkan secara berdekatan.

Jelasnya, ini menunjukkan semangat rakyat Sarawak yang mempunyai perbezaan latar belakang mampu hidup dalam satu komuniti.

“Yang penting sekarang adalah kita masih ada semangat toleransi sesama sendiri.

“Jika kita lihat, kita mempunyai masjid bersebelahan dengan kuil dan kemudian mempunyai gereja berhampiran juga.

“Walaupun kita mempunyai rumah ibadat yang berbeza ini, tetapi kita tinggal di bawah satu komuniti dan itulah keindahan yang kita miliki di mana ia perlu dipelihara kerana tidak ada negara yang boleh maju jika rakyat tidak bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Gurdwara Sahib (Kuil Sikh) Kuching, pada Sabtu.

Difahamkan, projek pembinaan bangunan tambahan itu merangkumi bangunan tiga tingkat baharu yang akan disambungkan ke blok sedia ada melalui jambatan di tingkat satu dan dua dengan sebuah taman di antara dua blok berkenaan.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyampaikan cek RM1,500,000 kepada Sarawak Sikh Temple Association dan cek RM1,200,000 kepada Gudwara Sahib Miri bagi kerja menaik taraf kuil Sikh.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datu Junaidi Reduan dan Presiden Sarawak Sikh Temple Association, Dr.Kalwinder Singh Khaira. -EDISI UKAS

add comment