ADUN Balingian Sempurnakan Jerayawara Ulang Tahun Ke-10 TEGAS

AHAD, 3 JULY 2022.

MUKAH: Sambutan ulang tahun ke-10 Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) pada tahun ini bertemakan ‘A Decade of Innovation Excellence’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pembangunan program tersebut adalah untuk berkongsikan sedikit tentang sejarah TEGAS.

“TEGAS telah ditubuhkan pada 28 Februari 2012, di mana pada ketika itu dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semasa beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

“Antara contoh program yang dilaksanakan oleh pihak TEGAS dalam mempromosikan pendidikan teknikal pada ketika itu adalah seperti Ekspo Latihan & Pendidikan TEGAS, Hari TEVT di kem PLKN, TEGAS jelajah sekolah, dan Seminar Hala Tuju Pendidikan TEVT TEGAS.

“Peranan TEGAS telah berkembang seiring dengan matlamat di bawah tiga pucuk pemimpin negeri kita iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan sekarang Premier Sarawak kita iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg,” katanya pada majlis Jerayawara Ulangtahun Tegas Ke-10 di Balingian baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun 2017, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta ringgit untuk membangunkan TEGAS Digital Village di Sama Jaya High Tech Park.

“Bagi saya ia adalah salah satu kejayaan yang besar buat TEGAS di mana diberi kepercayaan untuk melahirkan banyak lagi usahawan digital muda yang berkualiti di dalam Sarawak mahupun di Malaysia amnya.

“Tidak itu sahaja, pihak TEGAS melalui TEGAS Digital Innovation Hub juga telah ditubuhkan bagi membantu di dalam pembangunan start up usahawan di Sarawak sebelum mereka melangkah ke peringkat yang seterusnya iaitu di TEGAS Digital Village,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS turut berkata, kawasan Balingian antara destinasi yang dipilih sebagai jerayawara dari 11 lokasi di Sarawak.

Menurutya, ini adalah salah satu langkah bijak TEGAS dalam memperkenalkan program sebegini ke kawasan luar bandar, dan ia telah berkembang menjadi salah satu kejayaan terbesar untuk melahirkan banyak lagi usahawan digital muda yang berkualiti di dalam Sarawak mahupun di Malaysia.

Turut hadir ADUN Tellian Royston Valentine, Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) Fredick Kevin serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment