Datuk Liwan Hargai Sokongan Pengundi Di Sungai Metah

AHAD, 3 JULAI 2022

KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang merakamkan setinggi penghargaan ke atas semua penduduk di empat buah rumah panjang di Sungai Metah di sini atas mandat diberikan kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas.

Sehubungan itu, beliau juga berharap penduduk di Rumah Ranjau, Rumah Julan, Rumah Iben dan Rumah Manggie akan meneruskan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilian Raya Umum (PRU) nanti.

“PRN yang lepas adalah pilihan raya yang pertama bagi GPS bertanding menggunakan logonya sendiri dan GPS telah berjaya menang 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

“Kalau dilihat pada PRN yang lepas di sana sini menyatakan yang kita akan kalah, tetapi rakyat sudah tahu dan lebih faham dan terima kasih di atas sokongan kepada GPS yang diketuai oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Jo, Premier Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Dan Ngiling Bidai Zon Nanga Merit N.65 Belaga pada Jumaat.

Sementara itu, Datuk Liwan menjelaskan perancangan Premier Sarawak yang mahu mendidirkan sebanyak 7000 menara di seluruh Sarawak bagi memastikan seluruh negeri ini dapat menikmati perkhidmatan internet dan telekomunikasi dengan baik.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berharap penduduk dapat bersabar kerana ia memerlukan perancangan, banyak prosedur selain berdepan isu berkaitan dengan tanah tapak untuk mendirikan menara tersebut.

“Sekarang kerajaan mahu membeli tanah untuk tapak mendirikan ‘tower’ ini bukan lagi melalui kaedah sewaan. Tetapi untuk membeli tanah ini prosesnya agak lama, iaitu melalui SPA yang dipengerusikan oleh YAB Premier Sarawak.

“Oleh kerana kita mahu supaya perkara ini dipercepatkan, maka kita mewujudkan SPA II, khas untuk mendapatkan tanah untuk tapak bagi mendirikan ‘tower’ ini nanti dan SPA II ini dipengerusikan oleh YB Datuk Amar Awg. Tengah.

“Inilah kesungguhan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kita di luar bandar untuk mendapatkan kemudahan internet ini,” tambah beliau.

Katanya, kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) kepada penduduk sementara menunggu grid dapat ditarik dari Belaga dan Kapit.

Selain itu, Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) juga disediakan untuk penduduk sementara menunggu loji rawatan air Nanga Merit siap.

Dalam majlis tersebut, Datuk Liwan telah meluluskan bantuan dana kepada pihak Biro Wanita Rumah Maggie berjumlah RM20,000. – EDISI UKAS

add comment