AHAD, 3 JULAI 2022
KUALA LUMPUR: Agrofest Sarawak edisi ketiga akan membuat kemunculan semula selepas dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19.
Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, Agrofest Sarawak 2022 akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 18 hingga 20 November depan.
Katanya, pelbagai produk pertanian terbaik Sarawak akan dipamerkan termasuk teknologi pertanian pintar dalam usaha mempromosikan Sarawak sebagai peneraju utama negara dalam pertanian moden.
“Ia menyediakan platform dinamik untuk petani, usahawan tani, pembekal pertanian dan pemain industri untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta membolehkan pelabur meneroka peluang perniagaan dan pelaburan dalam sektor pertanian Sarawak,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran ‘Kenyalang BIRIS Rice’ dan ‘Carus White Pepper’ sekaligus menyaksikan perasmian Sarawak Agrofest 2022 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Ahad.
Ujar Dato Sri Dr Stephen Rundi lagi, penganjurannya juga merupakan inisiatif penting di bawah Pelan Transformasi Pertanian Negeri melalui pemodenan dan pengkomersilan ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab pertanian di rantau ini.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Syukri, Menteri Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah II, Martin Ben.-EDISI UKAS