D’Drift Dilaksana Kali Ke-3, Sumbang 1,000 Naskah Buku Kepada Kanak-Kanak Penan

ISNIN, 4 JULAI 2022

KUCHING: Pasukan Dayak Daily D’Drift 2022 menjalankan misi membawa lebih 1,000 naskah buku kepada kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Lusong Laku untuk menubuhkan perpustakaan. 

Bagi tujuan ini, Business Events Sarawak (B-E-S) dan Perpustakaan Negeri Sarawak telah menyumbang sebanyak 500 naskah buku manakala Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (PE-WAR-TA) turut menyumbang 514 naskah buku lagi. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buku-buku tersebut akan diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan sekaligus akan menyampaikan buku-buku berkenaan kepada pihak sekolah. 

“Saya rasa kanak-kanak Penan di sekolah Sk Lusong Laku sudah pasti mereka berasa teruja dengan sumbangan buku-buku yang baru dan seterusnya dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk belajar dan membaca lagi.

“Kadang-kadang kita tidak dapat memahami keadaan di sekolah luar bandar kerana ia terletak jauh di kawasan pendalaman kampung.

“Oleh itu, saya berharap usaha yang dilakukan ini adalah wajar dan baik dengan menyumbang buku-buku ini terutama di kawasan luar bandar atau kawasan pendalaman kampung,” kata beliau pada sidang media Majlis Pelancaran D’Drift 2022 yang diadakan di pejabat Dayak Daily, Kuching pada Isnin.

Program D’Drift 2022 ini dilaksanakan bermula 4 hingga 13 Julai turut disertai oleh TV Sarawak (TVS) serta Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang bertujuan menyemak liputan internet di sepanjang laluan perjalanan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan N.77 Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Presiden Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Dato Richard Wee, Pengarah HWS Development Sdn Bhd Datuk William Wei, Ketua Seksyen, Pengurusan Pelawat dan Produk Sarawak Forestry Corporation (SFC), Ekopelancongan dan Pembangunan Perniagaan Arianti Atong dan Ketua Editor Dayak Daily Lian Cheng. – EDISI UKAS

add comment