Pasukan CERT Jadi ‘Telinga dan Mata’ Agensi Kerajaan

ISNIN, 4 JULAI 2022

LUBOK ANTU: Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti atau ‘Comunity Emergency Response Team’ (CERT) penting kerana menjadi ‘mata dan telinga’ kepada agensi berkaitan dalam menyampaikan maklumat awal sekiranya terdapat kes-kes kecemasan.

Timbalan Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk (Dr) Malcolm Mussen Lamoh berkata, menerusi kewujudan pasukan CERT para komuniti rumah panjang atau kampung boleh bertindak awal apabila berlakunya sesuatu kecemasan sebelum ketibaan anggota keselamatan.

Beliau memberitahu, mereka juga boleh menyampaikan maklumat awal sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan di kawasan sempadan negara.

“Objektif CERT ialah untuk menyediakan satu pasukan penyelamat atau bantuan awal yang terdiri dari penduduk-penduduk kampung yang bermastautin di kawasan setempat yang sering dilanda bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran, wabak penyakit seperti rabies, virus ASF (African Swine Flu) dan sebagainya.

“Malah CERT mewujudkan satu pasukan kawalan yang cekap, efisien dan efektif dalam mengambil tindakan awal semasa berlakunya kecemasan mahupun bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penangguhan Program Latihan dan Pelancaran Border CERT Daerah Lubok Antu bagi Siri 1 anjuran Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Dewan Kompleks Sukan MDLA Lubok Antu pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai itu menambah, menerusi CERT, ia menggalakkan semangat berdikari di kalangan penduduk agar tidak terlalu bergantung kepada agensi-agensi bantuan kerajaan apabila berlakunya kecemasan.

“Ia juga boleh memupuk semangat setiakawan dan berkerjasama di kalangan penduduk setempat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” jelasnya. -EDISI UKAS

add comment