Program Kesihatan Warga Emas Di Bintangor Dapat Sambutan

ISNIN, 4 JULAI 2022

BINTANGOR: Klinik Kesihatan Bintangor, Klinik Pergigian Bintangor, Klinik Komuniti Tulai dan Kelab Sukan Rekreasi Kesihatan Bintangor telah menganjurkan Program Kesihatan Warga Emas Tahun 2022 bertempat di Dewan Persatuan Masyarakat Sosial Tulai Bintangor pada Sabtu lepas.

Ia telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan turut dihadiri Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bintangor Dr Nurfarhana Khairul Zaman, Penolong Pegawai Perubatan kanan Klinik Kesihatan Bintangor Kosman Kassim dan Pengerusi JKKK Sg Tulai Bintangor Kapitan Wong Ming Ging.

Datuk Ding berkata pelbagai program penjagaan kesihatan telah diadakan di Meradong melalui Klinik Kesihatan Bintangor.

Beliau juga gembira kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan dari warga emas sekali gus memperlihatkan sikap ambil berat golongan itu terhadap penjagaan kesihatan.

Datuk Ding juga mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Klinik Kesihatan Bintangor dan akan  menyumbang tiga unit komputer riba kepada Klinik Kesihatan Bintangor untuk kegunaan umum.

Selepas di situ, Datuk Ding menghadiri Majlis Penyerahan Notis Pelantikan & Notis Pelantikan Semula Ketua Masyarakat (KM) & Sijil Pelantikan Baharu Dan Sijil Pelanjutan Ketua Kaum (KK) bagi kawasan Meradong bertempat di Dewan Pejabat Daerah Meradong.

Seramai 64 ketua kaum dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong telah menerima sijil pelanjutan dan pelantikan ketua kaum serta ketua masyarakat (KMKK).

Penyerahan sijil-sijil perlantikan dan pelanjutan ini telah disempurnakan diserahkan oleh Residen Bahagian Sarikei Felicia Tan Ya Hua sambil disaksikan Datuk Ding Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin.

Penyerahan sijil berkenaan terdiri daripada dua orang pemanca, tiga orang Penghulu dan 49 ketua kaum yang telah dilantik semula manakala sebanyak 10 lantikan baharu untuk jawatan ketua kaum di kawasan pentadbiran DUN Meradong.

“Semua yang dilantik haruslah sentiasa bekerja keras dan memberi komitmen yang tinggi kepada tugasan yang telah diamanahkan oleh rakyat dan kerajaan.

“Setiap ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) haruslah menjaga imej Kerajaan kerana mereka merupakan contoh terbaik dan menjadi teladan yang baik kepada masyarakat tempatan,” jelas Datuk Ding. – EDISI UKAS

add comment