Raja Permaisuri Agong Berangkat Tiba Untuk Lawatan Rasmi Empat Hari Di Sarawak

ISNIN, 4 JULAI 2022

KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Sarawak pada Isnin bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Kuching.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sekitar jam 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching telah disambut oleh isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah selaku Menteri Pengiring.

Turut hadir menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus; isteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato’ Dayang Morliah; isteri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar; isteri Datuk Julaihi Narawi, Datin Sadiah Buji; isteri Datuk Liwan Lagang, Datin Rosnie Bilang serta isteri Dato Gerald Rentap Jabu, Datin Rosemary Wong Lu Yi.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong memulakan lawatan dengan mencemar duli ke ‘Heritage Technology and Gastronomy Academy, CENTEXS pada sebelah petang.

Pada malam Isnin pula, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat tiba ke Sarawak River Cruise untuk Program Santapan Malam.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menyambung lawatan pada Selasa dengan mencemar duli ke Persidangan Ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh di Hotel Grand Margherita sebelum berkenaan berangkat ke The Brooke Gallery di Fort Margherita di sini.

Pada sebelah malam, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong meneruskan lawatan dengan mencemar duli ke Hotel Grand Margherita untuk program International Night Dinner. 

Manakala, pada Rabu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mempunyai sesi peribadi sebelum berangkat pulang pada Khamis. -Edisi UKAS

add comment