Sistem Perhubungan Jalan Raya Pacu Potensi Kawasan Pertanian Di Bintangor

ISNIN, 4 JULAI 2022

BINTANGOR: Sistem perhubungan jalan raya sangat penting untuk mengangkat potensi kawasan Nanga Bangkit, Sungai Sian hingga ke Muara Bunut di sini sebagai kawasan pertanian.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, terdapat lebih kurang 400 ekar kawasan di situ dikenalpasti sebagai kawasan untuk tanaman komersial.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat meluluskan permohonan pembinaan dua buah jalan raya di kawasan tersebut bagi merancakkan sektor pertanian di situ.

“Jadi harapan kita satu hari nanti kawasan ini dapat dihubungi dengan jalan raya kerana kawasan ini telah dikenalpasti berpotensi untuk dijadikan pusat bekalan makanan.

“Lebih kurang dalam 400 ekar di kawasan ini telah dikenalpasti sebagai kawasan tanaman pelbagai komersial. Untuk makluman kita masih menunggu kelulusan permohonan dari kerajaan untuk mendapatkan satu jalan yang menghubungkan enam buah rumah panjang di Nanga Bangkit bernilai RM35 juta iaitu sebuah jalan dalam linkungan 8 hingga 10 kilometer.

“Satu lagi jalan ke arah ke arah Kampung Selemas yang akan menghubungkan kawasan ini terus ke simpang antara Jalan Sibu ke Tanjung Manis yang panjangnya lebih kurang 5 kilometer dan JKR buat anggaran kos dalam RM45 juta.”

Datuk Abdullah berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ngiling Bidai Tahun 2022 di Rumah Jawi Nanga Bangkit Sg Selidap, Rumah James Berandah Muara Bunut dan Dewan Serbaguna Sg Sian Bintangor pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS turut berharap kawasan itu dilengkapi dengan sistem perkhidmatan internet yang baik untuk memudahkan pembelajaran pelajar.

Katanya, sistem internet di beberapa kawasan tertentu masih lemah dan Ketua Masyarakat di situ telah memohon pemasangan WiFi untuk pembelajaran kerana terdapat tiga buah sekolah di situ.

Jelas Datuk Abdullah, pada peperiksaan SPM yang lepas, seramai tiga orang pelajar di kawasan itu telah mendapat keputusan 6A telah diberikan insentif.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata sokongan masyarakat di Sungai Sian Bintangor kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang lepas adalah amat penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lancar di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Mandat diberikan pada PRN ke-12 membuktikan masyarakat memahami aspirasi dan matlamat perjuangan GPS yang mengutamakan pembangunan.

“Pelaksanaan projek daripada Kerajaan Persekutuan juga amat penting seperti pembinaan Jalan Raya Pan Borneo,” katanya lagi.

Jelajah program Gawai untuk DUN Semop diadakan di 12 destinasi selama empat hari melibatkan masyarakat dari 50 buah rumah panjang.

Dalam setiap majlis tersebut, Datuk Abdullah telah menyampaikan sumbangan kepada 50 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang yang melibat peruntukan keseluruhan berjumlah RM84,100.

Hadir sama isteri Datuk Abdullah, Datin Nora Ashikin Ibrahim. – EDISI UKAS

add comment