SUFC Menang Dengan Jaringan 2-1 Dalam Perlawanan Borneo Menentang Sabah FC

ISNIN, 4 JULAI 2022

MIRI: Perlawanan bola sepak Piala Belia Kebangsaan 2022 membabitkan Sarawak United FC (SUFC) dengan Sabah FC berkesudahan kemenangan berpihak SUFC dengan jaringan 2-1.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Miri pada Sabtu itu telah menarik perhatian Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin hadir menyaksikan perlawanan Borneo itu. 

Sebelum perlawanan bermula, Dato Sri Lee telah bersalaman dengan pemain kedua-dua pasukan sebelum sepak mula diadakan. 

SUFC yang turun dengan jersi serba hitam mendahului perlawanan pada minit ke-10 menerusi jaringan Harith Danielle dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama. 

Pada separuh masa kedua, Sabah FC yang menggunakan jeers serba kuning berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Mohd Azim Azizi pada minit 65 dan selepas itu pada minit ke-88 Mohd Iskandar muncul wira menjaringkan gol kemenangan SUFC. 

Kemenangan itu turut disaksikan di hadapan lebih 350 penonton setia SUFC pada petang itu. 

Turut sama hadir Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Saif Jubaidi, Pengurus Pasukan Liga Super SUFC Mulyadi, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri yang juga merupakan Pengurus SUFC Bawah 19 tahun Nazri Ahmad Lai. 

SUFC masih mempunyai baki 3 lagi perlawanan di peringkat kumpulan iaitu menentang PJ City FC pada 6 Julai dan Pasukan Sri Pahang FC pada 17 Julai serta menunggu pasukan Sri Pahang di Stadium Miri bagi perlawanan timbal balik.-EDISI UKAS

add comment