SELASA, 5 JULAI 2022
SRI AMAN: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis telah menghadiri taklimat projek menaik taraf jalan masuk sepanjang 8 kilometer (km) dari simpang utama ke kawasan Rumah Panjang Ulu Undup, Batu lintang di sini pada Isnin.
Mereka turut disertai Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha serta Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit.
Pada taklimat tersebut, Datuk Hasbi dan Datuk Francis berserta rombongan telah diberi pencerahan mengenai skop projek yang dilaksanakan.
Difahamkan, ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 4.018km (jalan batu dan tanah) kepada R1 Modified JKR Standard (lebar laluan 5.5m dan jalur marginal 0.25m) serta menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 4.241km tertutup tar dengan melebarkan turapan (anggaran 1m setiap sisi), bahu jalan raya (2m lebar setiap sisi), dan longkang tepi jalan kepada R1 Modified JKR Standard juga.
Manakala, kerja-kerja mengalih aset utiliti seperti tiang elektrik dan paip air di sepanjang jalan serta memasang perabot-perabot dan tanda arah jalan raya turut akan dilaksanakan.
Dengan terlaksananya projek ini nanti, ia dijangka akan memudahkan perjalanan keluar masuk secara selamat bagi pengguna dari beberapa kampung dan sekolah berdekatan di samping memperbanyakkan lagi penyediaan perkhidmatan utiliti di kawasan sekitar.
Selain itu, projek tersebut juga dapat memudahkan urusan logistik penduduk tempatan dalam membawa hasil pertanian untuk dipasarkan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka. -Edisi UKAS