Pendidikan Penting Untuk Mengubah Kehidupan

SELASA, 5 JULAI 2022

SIBU: pendidikan memainkan peranan yang teramat penting dalam mengubah nasib seorang individu, keluarga, masyarakat, bangsa atau negara.

Atas kesedaran inilah Kerajaan Negeri tidak boleh bertolak ansur dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan di negeri Sarawak, demikian jelas Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee.

Ini termasuk menyediakan peluang kepada semua pelajar untuk memasuki universiti yang ada di negeri ini.

“Baru-baru ini Premier kita ada membuat pengumuman bahawa pelajar-pelajar Sarawak yang ada keputusan SPM yang baik akan dimasukkan dalam universiti elit di Sarawak walaupun permohonan mereka untuk memasuki universiti lain menerusi Kementerian Pengajian Tinggi ditolak.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyediakan akses pendidikan tertiari universiti kepada anak Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua pada Selasa.

Mengenai program itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan menyeru dan memohon semua vendor iaitu kedai-kedai pembekal pakaian seragam sekolah yang terlibat supaya membekalkan kuantiti dan kualiti pakaian seragam yang mencerminkan nilai RM200 pada baucer yang diberikan kepada pelajar.

Tegasnya, pekedai tidak seharusnya mengaut keuntungan yang tidak munasabah melalui program ini.

Pada masa sama, beliau berharap agar pihak ibubapa memeriksa dahulu pakaian supaya setimpal dengan nilai baucer.

“Saya menyeru ibu bapa supaya memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknyauntuk pelajaran anak-anak.  Jangan disalahgunakan.

“Semoga bantuan pakaian seragam ini akan meringankan beban keluarga yang terlibat. Anak-anak yang menerima bantuan ini seharusnya lebih bersemangat datang ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh,” tambah beliau.

Seramai 120 orang murid yang terdiri daripada 62 murid daripada enam buah sekolah rendah dan 58 orang murid daripada daripada empat buah sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan menerima baucer bantuan tersebut yang diserahkan secara simbolik dalam majlis tersebut.

Hadir sama wakil Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo, Wakil Tuan Residen Bahagian Sibu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba dan Pengetua SMK Tung Hua Goi Nguok Yew. – EDISI UKAS

add comment