Raja Permaisuri Agong Berkenan Rasmi Persidangan Ke-13 ACWW Kawasan Asia Tenggara Dan Timur Jauh

SELASA, 5 JULAI 2022

KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli menghadiri majlis perasmian Persidangan Ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara Dan Timur Jauh di Hotel Grand Margherita di sini pada Selasa.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sekaligus berkenan menyempurnakan gimik perasmian persidangan tersebut yang berlangsung dari 4 hingga 6 Julai 2022.

Turut hadir dalam majlis ini adalah, Penaung Institut Persekutuan Wanita Sarawak (SFWI) Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Dengan bertemakan ‘Kepelbagaian Kekuatan Kami’, persidangan ini merupakan kali kelima Sarawak menjadi tuan rumah yang mana ia menghimpunkan seramai 202 perwakilan wanita dari negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura dan termasuk Malaysia.

Terdahulu dalam ucapan khas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keberangkatan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Sarawak bagi menghadiri persidangan tersebut mencerminkan keprihatinan terhadap kegiatan ACWW dan wanita keseluruhannya.

 “Keberangkatan tuanku mencerminkan keprihatinan terhadap kegiatan ACWW dan wanita keseluruhannya, lebih-lebih lagi di Sarawak yang juga menjadi inspirasi kepada kumpulan wanita Sarawak untuk bergiat lebih aktif dalam pembangunan wanita dari sudut ekonomi dan sosial,”katanya.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata lagi, persidangan ini adalah platform untuk wanita dari pelbagai negara berhimpun serta berkongsi maklumat dan mendapat ilmu pengetahuan baharu.

“Persidangan ini saya percaya adalah platform yang tidak ternilai bagi kita yang berada dalam fasa pemulihan selepas pandemic COVID-19, untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan, bertukar pengalaman demi memajukan masyarakat dan negara kita,” ujarnya.-EDISI UKAS

add comment