Sambutan ‘Ngiling Bidai’ Serlah Perpaduan Masyarakat Majmuk Di Sarawak

SELASA, 5 JULAI 2022

SARIKEI: Sambutan pelbagai perayaan seperti Hari Gawai sangat penting dalam menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.

Mengambil contoh penganjuran Majlis Ngiling Bidai Tahun 2022 anjuran Serakup Dayak Kesihatan Bintangor yang dihadiri kakitangannya dari pelbagai bangsa seperti Iban, Melayu dan Cina.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, beliau memuji inisiatif Serakup Dayak Kesihatan Bintangor itu kerana memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang merasai kemeriahan adat tradisi masyarakat Dayak itu.

Malah beliau berharap tarian ngajat yang menjadi tradisi kaum Iban dikekalkan untuk tatapan geberasi akan datang.

Bercakap pada program yang diadakan di Honey Restaurant Sarikei pada Sabtu, Datuk Ding juga mahu program tersebut diteruskan dan diselitkan dengan pemberian insentif kepada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai galakan kepada mereka.

Beliau juga menyumbang peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Serakup Dayak Kesihatan Bintangor.

Terdahulu, Datuk Ding menghadiri Majlis Ngiling Bidai Tahun 2022 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Tury, Sungai Baron.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Ding merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua penduduk Rumah Panjang Tury kerana memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang lepas. – EDISI UKAS

add comment