Tanggungjawab Perkasa Integriti Adalah Tanggungjawab Semua

SELASA, 5 JUN 2022

LAWAS: Tanggungjawab untuk memperkasakan budaya integriti di Sarawak adalah tanggungjawab semua rakyat.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada jabatan dan agensi kerajaan sahaja tetapi juga penglibatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan masyarakat itu sendiri.

“Kita semua harus bekerjasama dalam melaksanakan tugas dengan integriti agar segala perancangan berjalan dengan baik dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Jika kita melaksanakan semuanya dengan berpaksikan integriti maka segala perancangan kita akan berjalan lancar, kita menjadi negara yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Jelajah Intergriti Siri 6/2022 Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Sundar pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menambah, rakyat telah memberi mandat yang besar dalam pilihan raya lalu yang menunjukkan mereka yakin dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak dengan integriti yang kukuh.

“Dalam pilihan raya lalu kita telah mencapai kemenangan dengan 76 kerusi daripada 82 kerusi dan ini adalah kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Salah satu yang kita tekankan ialah kita dapat membela kebajikan rakyat.

“Kerajaan Sarawak telah membantu rakyat dengan jumlah lebih daripada RM5.7 bilion untuk membantu rakyat yang terjejas iaitu bantuan dari segi kewangan dan bukan kewangan.

“Kita mahu pelaksanaannya dibuat secara telus dan mempunyai kerjasama agensi dan KMKK, dan setakat ini alhamdulillah ia berjalan dengan baik,”jelasnya.

Dalam program sama juga, beliau telah menyerahkan pampasan projek Tanah Lapangan Terbang Baru dengan jumlah pampasan RM17.1 juta.

Menurut beliau penilaian ini dibuat dengan penilaian semasa yang diterima pakai mengikut kadar semasa.

“Kerajaan mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sekiranya mempunyai bukti dan membuat penyukatan serta mengeluarkan geran tanah,” tegasnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Adana Jed, Datuk Mohd. Naroden Majais dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.-EDISI UKAS

add comment