RABU, 6 JULAI 2022
SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai delegasi kerajaan negeri ke Singapura dalam rangka lawatan kerja rasmi lima hari bermula pada Rabu ke negara republik itu.
Antara misi ke Singapura adalah untuk mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC) di ibu pejabatnya di Capital Tower.
Dalam lawatan kerja rasmi itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah diiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wanliz Othman.
Delegasi Sarawak telah diberi taklimat mengenai operasi, struktur tadbir urus, strategi pelaburan dan rangka kerja dasar pelaburan kerajaan Singapura.
Lawatan kerja rasmi ini adalah sebahagian daripada proses penanda aras yang akan membawa kepada penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini.
Premier Sarawak telah menyatakan bahawa ordinan penubuhan dan pentadbiran Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang dicadangkan akan dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan dan dijangka berkuatkuasa pada 2024.
Untuk rekod, pada Mei lepas Premier Sarawak telah melakukan lawatan serupa ke Norway untuk mengkaji operasi dan tadbir urus Dana Kekayaan Berdaulat negara berkenaan sebagai antara model pilihan untuk mengurus dan melabur lebihan dana Sarawak.
Delegasi Sarawak dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong, serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras untuk Keselamatan Nasional Teo Chee Hean.
Premier Sarawak bersama delegasi juga akan bertemu beberapa menteri lain termasuk Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Grace Fu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, dan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Perdagangan dan Industri Kedua Dr Tan See Leng.
Delegasi Sarawak juga akan melawat Taman Bishan-Ang Mo Kio, dan melawat beberapa syarikat Singapura. -EDISI UKAS