Projek MAF-Sunway Hope Borneo Bantu PLHIV

RABU, 6 JULAI 2022

KUCHING: Misi program Jangkauan Bantuan Kesihatan Sunway Untuk Semua ‘MAF-Sunway Hope Borneo Project’ bersama Patron Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) adalah satu usaha membantu komuniti terpinggir khusus Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV).

Menurut Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dato Sri Dr. Jeffrey Cheah Fook Ling, berdasarkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memastikan tiada siapa tertinggal, program MAF-Sunway Hope Borneo tertumpu kepada membantu golongan yang terpinggir oleh masyarakat terutamanya penghidap penyakit HIV-AIDS.

“Sokongan Sunway untuk Yayasan AIDS Malaysia adalah berdasarkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami untuk tidak meninggalkan sesiapa pun. Itulah sebabnya kebanyakan projek CSR kami tertumpu kepada membantu golongan terpinggir dan sektor masyarakat yang sering dilupakan,

“Mangsa HIV-AIDS adalah contoh utama golongan yang terpinggir. Penghidap penyakit HIV-AIDS menerima ancaman kepada kehidupan mereka, manakala stigma dan pengasingan yang mereka hadapi merampas maruah mereka,”katanya semasa berucap dalam pelancaran MAF-Sunway HOPE Borneo Projek di Teratak Kasih Tok Nan, Kuching pada Rabu.

Tambah Tan Sri Jeffrey Cheah, penubuhan Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) yang membantu Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV) adalah langkah murni.

Oleh itu, beliau menzahirkan penghargaan terima kasih kepada penaung TKTN, Datuk Amar Jamilah Anu atas kesungguhan dan komitmennya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Penaung Teratak Kasih Tok Nan, Datuk Amar Jamilah Anu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Professor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Naib Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M. Hashim dan Pengerusi bersama Kumpulan Sunway, Datuk Seri Idris Jala.-EDISI UKAS

add comment