Miri Car Free Day 2022 Akan Diadakan Pada 16 Julai Ini

KHAMIS, 7 JULAI 2022

MIRI: Buat pertama kalinya, Bandar Miri menjadi lokasi bagi penganjuran Program Car Free Day 2022 pada 16 Julai kelak.

Pemangku Residen Bahagian Miri Baru Tai berkata, warga Miri dijemput untuk hadir, beriadah dan menikmati panorama bandaraya ini di dalam suasana bebas kenderaan.

“Acara yang bermula seawal jam 6 pagi akan berlangsung di sepanjang Jalan North Yu Seng berhadapan dengan Wireless Walk Miri.

“Sepanjang program ini berlangsung, orang ramai atau pengunjung hanya dibenarkan untuk berjalan kaki, menggunakan basikal, papan luncur, hover board dan blade scooter.

“Sebarang kenderaan tidak dibenarkan melalui jalan tersebut,”katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa program “Miri Car Free Day 2022” di sini pada Selasa.

Beliau memaklumkan, jalan yang akan ditutup pada hari tersebut adalah Jalan North Yu Seng, Jalan Parry, Jalan Post, Jalan Haji Lampam dan Jalan Persekutuan bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

“Sehubungan dengan penutupan jalan tersebut, pengguna jalanraya adalah dinasihatkan untuk mematuhi arahan papan tanda yang disediakan bagi membantu pelaksanaan serta kelancaran perjalanan program ini,”ujarnya.

Menurut beliau lagi,  Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka akan merasmikan program tersebut.

Antara aktiviti menarik yang akan dilakukan sepanjang program tersebut adalah Pertandingan Basikal Berhias, aktiviti Zumba serta pelbagai aktiviti kecergasan yang lain.

Dalam pada itu, Baru memaklumkan, bagi orang ramai yang ingin menyertai Pertandingan Basikal Berhias boleh mengisi borang menerusi pautan https://forms.gle/Up4XY9VnnXPbDhq88. Para pemenang bagi pertandingan ini akan menerima wang tunai serta piala iaitu bagi tempat pertama mereka akan membawa pulang RM300 serta piala, tempat Kedua membawa pulang RM200 serta piala, tempat Ketiga membawa pulang RM150 serta piala dan saguhati akan membawa pulang RM50.-EDISI UKAS

add comment