Premier Sarawak Lakukan Kunjungan Hormat Terhadap Perdana Menteri Singapura

KHAMIS, 7 JULAI 2022

SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana di Orchard Road, di sini pada Khamis.

Kunjungan hormat berkenaan adalah untuk mendapatkan pandangan tentang operasi dan pengurusan dana kekayaan berdaulat negara Singapura termasuk mengembangkan kerjasama ekonomi antara Singapura dan Sarawak.

Dalam kunjungan selama 30 minit itu, Premier Sarawak dan Perdana Menteri Singapura turut membincangkan perkara berkaitan dengan kepentingan kedua buah negara dan isu semasa yang mempengaruhi rantau ini serta seluruh dunia.

Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Dr. Azfar Mohamad Mustafar.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Premier Sarawak dan rombongan mengadakan kunjungan yang sama kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong.

Seterusnya diikuti dengan kunjungan terhadap Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Selepas itu, pada sebelah petang, kunjungan rombongan itu diteruskan dengan lawatan ke Temasek Holdings Private Limited dan diberikan taklimat mengenai operasi dan pengurusan cabang pelaburan domestik kerajaan Singapura. -EDISI UKAS

add comment