KHAMIS, 7 JULAI 2022
KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada Khamis setelah menyempurnakan lawatan rasmi selama empat hari di Sarawak.
Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada pukul 2 petang disambut oleh isteri Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut menyambut ketibaan baginda ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit serta tetamu kehormat lain.
Raja Pemaisuri Agong berangkat tiba ke Kuching pada Isnin dan telah berkenan mencemar duli ke Pusat Kecermelangan Teknik Sarawak (CENTEXS) pada sebelah petang bagi meninjau Makmal Keringkam Songket, Galeri Warisan (tenunan songket dan sulam keringkam) serta Couture D’Heritage.
Pada sebelah malam, baginda berkenan mencemar duli ke Santapan Malam di Sarawak River Cruise.
Keesokan harinya, Raja Pemaisuri Agong mencemar duli ke Persidangan Ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawsan Asia Tenggara dan Timur jauh di Hotel Grand Margherita dan pada sebelah petang, baginda berkenan mencemar duli melawat ke The Brooke Gallery.
Manakala sebelah malam, baginda berkenan mencemar duli ke Makan Malam Antarabangsa di Hotel Grand Margherita.
Seterusnya pada Rabu, baginda mencemar duli melawat Muzium Budaya Borneo buat kali kedua setelah melawat pertama kali pada Mac lepas. -EDISI UKAS