Daftar Sebagai Ahli PERKESO Untuk Nikmati Pelbagai Manfaat

JUMAAT, 8 JULAI 2022

BINTANGOR: Para penjaja di Pasar Tamu Bintangor diseru agar mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, skim baharu diperkenalkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata dengan menjadi ahli skim tersebut, para penjaja akan mendapat pelbagai manfaat seperti perlindungan diri sendiri dan tanggungannya di samping mendapat rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Katanya, individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.

Jelasnya lagi, skim tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia atau permastautin tetap tanpa mengira had umur dan individu yang menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah.

Datuk Ding berkata demikian ketika ditemui dalam Program Pendaftaran Terbuka Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri anjuran PERKESO Bahagian Sarikei di Pasar Tamu Bintangor pada Khamis.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi sokongan perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan, skim ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain iaitu pengangkutan barangan dan makanan, pertanian, penternakan, perhutanan, perikanan, makanan, pembuatan, pembinaan, penjaja, premis penginapan, perniagaan online, teknologi maklumat, pemprosesan data, ejen, perkhidmatan professional, perkhidmatan sokongan, kesenian, perkhidmatan isi rumah, penjagaan perawatan dan pemulihan kesihatan. – EDISI UKAS

add comment