JUMAAT, 8 JULAI 2022
KUCHING: Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) akan meneruskan jelajah ke Sarawak pada bulan depan dalam usaha untuk bertemu dengan pengamal media yang bernaung di bawah kelab serta persatuan di negeri berkenaan.
Presidennya Fauzi Ishak berkata, Sarawak adalah negeri kedua yang akan dikunjungi Jawatankuasa Tertinggi GKMM selepas Sabah dan diikuti beberapa lagi negeri selepas ini.
“Gerak kerja GKMM ini adalah selaras dengan aspirasi dan hasrat yang dipersetujui bersama ketika Program Pemukiman Media Se-Malaysia di Pulau Langkawi, Kedah pada 28 Mac lalu bagi menggabungkan seluruh kelab-kelab media yang berdaftar di seluruh negara.
“Inisiatif penubuhan GKMM ini dilaksana dengan menggabungkan seluruh 14 kelab dan persatuan media di 14 negeri, sekaligus menjadikan ia badan gabungan media terbesar yang pernah diwujudkan di Malaysia dengan keahlian keseluruhan melebihi 5,000 orang,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Timbalan Bendahari GKMM Jacqueline Radoi telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS Datuk Abdullah Saidol bagi memaklumkan hasrat lawatan GKMM ke Sarawak di pejabatnya di sini pada Khamis.
Pada 27 hingga 29 Jun lepas, GKMM sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama Sabah Journalist Association (SJA) bagi menyampaikan misi GKMM serta berkongsi perancangan masa depan dalam menggerakkan aktiviti kelab dan persatuan media negeri.
Sepanjang di Sarawak nanti, GKMM dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pemimpin politik tempatan serta syarikat.
Selain itu, diadakan juga lawatan ke beberapa lokasi pilihan dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA). -EDISI UKAS