JUMAAT, 8 JULAI 2022
BINTULU: Kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sebiew, baru-baru ini telah mendapat pehatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming.
Ketika ditemui, beliau menzahirkan rasa simpati di atas kejadian kebakaran yang berlaku itu.
“Walaupun Kampung Sebiew bukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, tetapi atas dasar prihatin, saya terpanggil untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa terjejas,“ katanya ketika di Kampung Sebiew Bintulu pada Rabu.
Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung 20 keluarga yang terjejas.
Johnny Pang turut berharap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan JPBB Bintulu turun padang untuk meninjau sekali gus mencari inisiatif bagi membantu mangsa dalam menangani kos kediaman yang tinggi di bandar Bintulu.
Beliau juga mempelawa syarikat-syarikat multinasional untuk sama-sama tampil menghulurkan bantuan menerusi tanggungjawab sosial korporat mereka.
Sebelum ini, mangsa-mangsa kebakaran telah mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jepak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan dan individu perseorangan.
Pada 2 Julai lepas, 11 buah rumah melibatkan 20 keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam satu kebakaran.
Sehingga kini, 12 buah keluarga ditempatkan sementara di sebuah hotel bajet di Tanjung Batu manakala lapan keluarga lagi menumpang sementara di kediaman keluarga mereka.-EDISI UKAS